Kerajaan Kedah gesa Pilihanraya Kampus dijalankan dengan telus
Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Kerajaan Negeri Kedah, saya merasa amat sedih mendengar segala laporan penyelewengan dan sekatan yang dilakukan oleh pihak tertentu termasuk pihak pentadbiran kampus-kampus di seluruh Malaysia yang cuba menghalang proses demokrasi di kalangan mahasiswa.
Para pelajar di kampus-kampus harus diberi kebebasan yang sempurna untuk menyuarakan ideologi dan perjuangan mereka untuk dinilai oleh khalayak mahasiswa. Semua mahasiswa harus diberikan hak yang sama untuk bertarung di gelanggang yang sama rata. Sikap diskriminasi terhadap kumpulan tertentu oleh pihak-pihak berwajib amatlah memalukan. Pentas terbuka untuk pidato perdana antara semua calon harus dianjurkan oleh pihak pengurusan pilihanraya jika mereka benar telus.
Denda pula jangan hanya melibatkan kesalahan kumpulan yang dilabel ‘pro-pembangkang’ semata-mata tetapi harus juga dikenakan terhadap kumpulan ‘pro-kerajaan’ jika terbukti mereka turut bersalah tanpa perlu mengambil sikap menutup mata terhadap kesalahan mereka seperti yang diamalkan selama ini. Pihak universiti / kolej harus adil dalam menghukum.
Budaya ugut yang melampau terhadap masyarakat mahasiswa hanya akan mencerminkan kebobrokan pihak pentadbiran universiti / kolej. Apalah lagi gunanya PRK ini jika pelajar dipaksa dan diugut untuk memilih kumpulan yang mereka tidak relai. Amatlah menjijikkan jika pimpinan pelajar harus dipilih mengikut kemahuan pihak pengurusan dan amatlah malang jika perkara tersebut harus juga dijayakan walaupun terpaksa menggunakan taktik kotor.
Segala macam gejala tidak sihat dalam perkembangan politik pelajar seperti gejala samseng atau pergaduhan harus dicantas dan diatasi secara bersungguh-sungguh oleh pihak pentadbiran universiti / kolej yang harus bersikap berkecuali. Pihak Kementerian Pengajian Tinggi pula digesa agar serius dalam menjaga kebajikan pelajar termasuk dalam urusan pemilihan ini agar telus dan tidak menafikan kehendak sebenar pelajar. Selain itu, pihak university / kolej dan kementerian juga mesti memastikan kumpulan-kumpulan samseng politik dapat dihapuskan dari alam mahasiswa. Kami amat kesal dengan gejala-gejala politik kotor seperti yang telah dilakukan oleh ‘Harimau Maut’ yang ditaja oleh pihak yang memusuhi kumpulan pelajar pro mahasiswa dalam kempen pilihan raya kampus (PRK) bagi sesi 2008/2009 baru-baru ini.
Tindakan dan keputusan tidak memaklumkan tarikh PRK secara rasmi dengan lebih awal dan pelaksanaan pengundian secara online menerusi sistem pengundian e-voting contohnya, dilihat sebagai keputusan yang amat dicurigai untuk membelot dan melakukan penyelewengan dalam proses pilihanraya. Keputusan tersebut juga seolah-olah pihak pentadbiran amat terdesak untuk menyekat kebangkitan suara pelajar yang tidak direstui oleh mereka.
Seperkara lagi, jika kumpulan ‘pro pembangkang’ menang nanti, diharap pihak universiti memberi kebebasan sepenuhnya untuk mereka bergerak, begitu juga jika sebaliknya. Kami megingatkan pihak pentadbiran universiti / kolej supaya jangan sekali-kali mengambil sikap membalas dendam kepada mana-mana pihak yang tidak disukai oleh mereka. Selain itu, pihak universiti / kolej dan kumpulan yang menang diingatkan agar kumpulan calon yang tidak menang nanti tidak akan disekat seperti yang berlaku dalam dunia parti politik pembangkang di luar kampus. Kebeasan beraktiviti harus diberi secara sama dan adil.
Desakan supaya perubahan dilakukan dalam sistem pemilihan pemimpin mahasiswa seperti mana yang berlaku dalam politik semasa tanah air pada masa sekarang merupakan impian generasi ilmu untuk menyuburkan demokrasi tulen di Malaysia. Gesaan mahasiswa ini harus dilihat positif kerana pembinaan masyarakat yang terbuka dan pandai menilai bermula daripada generasi terpelajar. Mahasiswa perlu dibebaskan daripada segala kongkongan pentadbiran universti dan dasar kementerian yang menyekat suara dan kuasa pelajar supaya bebas melaksanakan idealisme perjuangan mereka agar melahirkan demokrasi tulen dalam masyarakat kampus seterusnya dalam realiti dunia politik Malaysia.
Jawatankuasa Pendidikan Kerajaan Negeri Kedah melihat kepelbagaian ideologi yang dipertaruhkan dan kepelbagaian manifesto yang dikemukakan calon-calon PRK adalah sesuatu yang sihat dalam disiplin ilmu. Kebebasan harus diberi kepada pemilih sepenuhnya untuk memutuskan keputusan dan pilihan. Pertentangan antara ideologi dan manifesto merupakan budaya biasa yang seharusnya sihat dan harmoni tidak perlu diconteng dengan adegan-adegan samseng dan tidak juga perlu diganggu oleh pihak yang tidak terlibat dengan pertandingan. Keadaan pertandingan ini harus diperhatikan dari jauh oleh pihak universiti / kolej dan Kementerian tanpa perlu ada campurtangan untuk mengatur dan mempengaruhi keputusan.
Bagi memastikan keadilan dan ketelusan PRK ini, Kami bersetuju dengan 9 desakan mahasiswa serta memohon agak dipertimbangkan dengan penuh kewarasan Oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak pengurusan universiti / kolej supaya demokrasi pelajar tidak lagi dicabul oleh tangan-tangan yang berkuasa. 9 tuntutan tersebut ialah;
1. Suruhanjaya pilihanraya melibatkan pemerhati luar yang adil dan saksama.
2. Pilihanraya tidak berat sebelah.
3. Mansuhkan penggunaan e-voting.
4. Sistem bertanding atas tiket parti bukannya individu.
5. Tiada gejala samseng.
6. Tiada campurtangan pihak pengurusan universiti / kolej atau mereka yang tidak berkenaan.
7. Panjangkan tempoh berkempen.
8. Membenarkan penggunaan bahan kempen yang berwarna.
9. Wang cagaran calon dikurangkan kepada kos yang tidak membebankan.
Akhirnya, Jawatankuasa Pendidikan Kerajaan Negeri Kedah melihat segala macam tragedy dan gejala tidak sihat yang berlaku ini sebagai satu kegagalan besar Kementerian Pengajian Tinggi dalam menguruskan kebajikan mahasiswa. Kerajaan Negeri Kedah amat bimbang segala sekatan dan kengkangan yang dilakukan oleh pihak universiti dan Kementerian terhadap kebebasan politik pelajar hanya akan melahirkan generasi yang jumud dan miskin sikap prihatin. Jawatankuasa PendidikanKerajaan Negeri Kedah mengharapkan kebebasan pelajar tidak lagi digadaikan dengan sikap politik sempit. Jawatankuasa Pendidikan Kerajaan Negeri Kedah juga sekali lagi menggesa Kementerian Pengajian Tinggi supaya segera menyelesaikan isu ini dengan adil tanpa mengambil sentiment politik permusuhan.
Kenyataan Media oleh,
YB Tn. Hj. Abdullah Jusoh
Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, dan Koperasi
Hutang bertimbun di bawah BN
Kerajaan Negeri Kedah sedang bertungkus lumus membayar hutang peninggalan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebanyak RM2.09 billion kata Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Ustaz Hasan Abdul Razak.
Menurutnya, sekarang ini hutang Kerajaan Kedah telah menurun dan tinggal RM509 juta dalam masa tujuh bulan memerintah dan beliau pasti ia boleh diselesaikan tidak lama lagi.
“Kerajaan BN dulu tinggalkan hutang kepada Kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah RM2.09 billion tetapi atas dasar kebijaksanaan Menteri Besar dan exconya kini hutang Kedah tinggal RM509 juta sahaja,” jelasnya ketika ditanya selepas menyampaikan ceramah sempena jamuan Aidilfitri PAS Kawasan Tasek Gelugor di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Simpang Empat kelmarin.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Azizan Razak terpaksa memikul bebanan hutang yang terlalu banyak sehingga kadang-kadang tidak sempat untuk melaksanakan tugas turun padang secara agresif ke-11 daerah seluruh Kedah, katanya.
Rakyat latanya, kena faham kedudukan kerajaan sekarang ekoran peninggalan BN umpama rumah yang usang dan kosong di mana kerajaan baru kena membeli semua peralatan rumah sebagai penyeri termasuk mengecatnya semula agar kelihatan cantik dan indah.
“Inilah tugas kami sekarang dan Insya-Allah selepas ini kita boleh bergerak sebagaimana biasa setelah hutang dapat dikurangkan,” terangnya yang juga bekas Yang Dipertua PAS Kulim Bandar Baru.
Antara pendekatan yang sedang dibuat untuk membantu melangsaikan hutang itu kerajaan memperkenalkan projek pertanian yang dilaksanakan sendiri oleh anak syarikat Kerajaan Negeri contohnya di Sik.
Di sini sebuah koperasi di bawah Syarikat Kumpulan Ladang berjaya memberi imbuhan kepada keseluruhan ahlinya seramai 580 orang sebanyak RM4,800 seorang menjelang Aidilfitri lalu, katanya.
Katanya, pemberian itu berdasarkan keuntungan syarikat RM3.4 juta di mana dua pertiga diberikan kepada ahli manakala satu pertiga diserahkan kepada koperasi semula.
“Syarikat Kumpulan Ladang di Sik nyata menjadai contoh terbaik dalam usaha kerajaan melaksanakan pendekatan mendapatkan wang tambahan untuk tujuan melangsaikan hutang.
“Selain kerajaan memperolehi dana ahli koperasi itu juga terkejut apabila mereka mendapat imbuhan besar yang tidak pernah diterima semasa di bawah Kerajaan BN,” kata beliau seterusnya.
Selain itu katanya, ada satu lagi usaha yang sedang dalam proses penjualan kepada Kerajaan Persekutuan bagi membayar balik hutang melibatkan RM1.5 billion.
Katanya, Kerajaan Kedah sudah tiada pilihan sehingga terpaksa mencari jalan walaupun menjual aset Kedah kepada Kerajaan Persekutuan semata-mata tidak mahu membebankan rakyat.
Kedah sedia bekerjasama
Kerajaan Negeri Kedah di bawah Dato’ Seri Azizan sentiasa menunjukkan setiap terbuka dalam menjalin kerjasama dengan Kerajaan Pusat demi kepentingan kedua-dua pihak serta rakyat keseluruhannya. Kerajaan negeri tidak pernah mengamalkan sikap berburuk sangka bagi menjaga kelangsungan keharmonian biarpun kerajaan sudah beralih tangan.
Terbaru, Dato’ Seri Azizan menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Perdana Menteri yang baru berikutan pengumuman Datuk Seri Abdullah bin Ahmad untuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai Presiden UMNO sekaligus berundur sebagai Perdana Menteri.
ALOR STAR: Kerajaan Pas Kedah sedia bekerjasama dengan mana-mana pemimpin Umno yang dilantik sebagai Perdana Menteri, selain berharap penggantinya mempunyai sifat mesra dan mudah berurusan sama seperti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata kerajaan negeri menerima sesiapa saja yang dilantik sebagai pemerintah asalkan ia layak serta mempunyai kredibiliti memimpin negara.
Beliau berkata, ketika ini kerajaan Kedah menjalinkan hubungan baik dengan Kerajaan Pusat di bawah kepimpinan Abdullah selain menyifatkan pemimpin nombor satu negara itu mempunyai sikap mesra dan terbuka.
“Kita akan berurusan dengan sesiapa saja yang naik (dilantik) sebagai Perdana Menteri dan kita tidak mempunyai masalah untuk berkerjasama dengannya. Sudah lumrah pemimpin datang dan pergi,” katanya di sini, hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Abdullah petang ini untuk tidak bertanding jawatan Presiden Umno dan berundur sebagai Perdana Menteri menjelang Mac depan.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Mutakhir/20081008185605/Article/
Kesediaan Pak Lah berundur dengan niat memelihara keharmonian rakyat sangat wajar diberi pujian. Harapan yang amat tinggi kepada penggantinya untuk membawa negara kembali ke landasan yang betul serta menjamin kestabilan hidup rakyat jelata.
Muslim dan Puasanya
Ramadan kini telah melepasi setengah bulan pertama dan memasuki fasa kedua. Adakah kaum muslimin sudah memanfaatkan kurnia Allah ini dengan sebaiknya atau ia dibiar berlalu begitu sahaja.
Generasi muslim terdahulu, yang terpilih dari kalangan umat Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam dengan kesungguhan yang mereka tunjukkan ketika menjalani ibadah puasa, telah memetik hasilnya, bernaung di bawah lindungannya dan mengambil roh kekuatannya.
Pada siangnya mereka bekerja, produktif serta tekun. Sedang di malamnya diisi dengan solat malam dan bertadarus. Ramadan dipenuhi dengan tarbiyah, ibadah dan kebajikan.
Mulut, telinga dan mata mereka berpuasa, tidak berbohong, tidak berkata, mendengar dan melihat perkara yang keji. Hati mereka berpuasa, tidak terlintas untuk melakukan kejahatan. Begitu juga tangan, kaki dan seluruh fizikal mereka turut berpuasa.
Dewasa ini, ada di antara kaum muslimin yang menjadikan Ramadan sebagai musim untuk meningkatkan ketaatan kepada Allah dan melipatgandakan kebajikan. Mereka bukan sahaja berpuasa malah membaguskan puasanya. Lalu membaguskan ibadah pada malamnya. Mereka bersyukur dengan nikmat yang diperolehi serta tidak lupa untuk menghulurkan bantuan buat saudara-saudara seakidah dari kalangan du’afa’ dan fuqara’. Mereka jadikan Rasul dan Salafus Soleh sebagai teladan yang luhur dalam menyegerakan kebajikan.
Sebaliknya, ada kelompok yang gagal mengambil manfaat dari bulan rahmat ini sama ada kerana kejahilan atau hati yang sedia keras untuk menerima kebenaran. Ramadan dibiarkan berlalu tanpa memaksimumkan puasa dan ibadah malah meninggalkan terus tanpa rasa berdosa.
Allah menjadikan Ramadan untuk melunakkan jiwa dan hati, namun mereka menggunakannya untuk kepentingan perut dan syahwat. Allah menjadikan Ramadan untuk mendidik jiwa sabar dan berkasih sayang, sebaliknya mereka tetap dalam kemarahan dan kedengkian. Allah menjadikan Ramadan untuk insan dapat mengecap ketenangan dan kesederhanaan tetapi mereka hanya mendapat kenistaan dan keborosan. Allah menjadikan Ramadan agar perubahan peribadi dapat dilakukan sebaliknya hampir tiada perubahan melainkan waktu-waktu makan sahaja.
Allah menjadikan bulan Ramadan untuk golongan kaya yang sering cukup makan meyakinkan saudara mereka dari golongan miskin yang selalu kekurangan tentang kebesaran rahmat bulan Ramadan. Di bahu si kaya tergalas tanggungjawab untuk memeriahkan Ramadan dengan memberi jaminan kesenangan kepada golongan miskin melalui sedekah, sumbangan, zakat fitrah dan sebagainya.
Semoga kaum muslimin dapat melakukan ibadah puasa yang dapat menghantar mereka ke tingkatan taqwa sebagaimana perintah al Quran, “………… semoga kamu bertaqwa”, sehingga mereka keluar dari madrasah Ramadan dalam keadaan suci bersih dan terampun dari segala dosa.
Perihal Moto JPN Kedah

Walaupun Jabatan Pelajaran Kedah terletak di bawah kawalan pusat, namun sebagai sebuah agensi yang beroperasi di negeri Kedah, maka setiap tindakan mestilah dilihat seiringan dengan kerajaan negeri dalam memacu kemajuan dan kesejahteraan rakyat dan negeri.
Justeru JPN Kedah sepatutnya tidak meletakkan diri mereka sebagai satu entiti yang berasingan. Sehubungan itu, dalam usaha kerajaan negeri membawa kesejahteraan dalam erti kata sejahtera di dunia dan sejahtera di akhirat, ia memerlukan kerjasama semua pihak yang bermastautin di negeri Kedah termasuk JPN sendiri.
Melalui cabang pendidikan, JPN seharusnya memikul tanggungjawab mendidik generasi pelapis Kedah agar memahami matlamat kesejahteraan dan seterusnya memastikan kesejahteraan di negeri Kedah terjamin.
Malangnya, JPN seperti bersikap degil apabila meletakkan moto ‘Kedah Gemilang’ pada kepala surat rasmi mereka yang bertentangan dengan moto kerajaan negeri ‘Kedah Sejahtera’. Sesungguhnya maksud SEJAHTERA itu sendiri sangat luas berbanding maksud GEMILANG.
Turun Kawasan (Pulau Sayak)
Alhamdulillah. Walaupun sibuk dengan tugas-tugas rasmi sempena sambutan Jubli Emas Pemerintahan Tuanku Sultan, masih lagi sempat turun bagi meninjau keadaan rakyat di kawasan DUN Pantai Merdeka. Tentu sekali ucapan terima kasih buat petugas-petugas PKWR yang pantas berperanan dibawah kelolaan En. Rosli b. Darus.
Kali ini kesempatan digunakan untuk menerima jemputan penduduk di sekitar Pulau Sayak bagi tujuan bersemuka dan berdialog serta mendengar permasalahan yang dikemukakan. Antara yang dibangkitkan ialah masalah yang berlarutan sejak beberapa tahun yang lalu seperti masalah bekalan air yang sering terputus.
Selain itu penduduk dari kalangan nelayan yang hadir membangkitkan masalah lesen perahu bagi tujuan menangkap ikan yang hari ini belum diperolehi sedangkan permohonan telah dibuat sejak lama dulu. Tidak ketinggalan permohonan mendapatkan lampu jalan serta jalan kampung bertar yang sudah rosak.
Sebagai langkah penyelesaian, dikemukakan beberapa kaedah. Antaranya penduduk diingatkan supaya setiap maklumat atau aduan yang hendak dikemukakan mestilah tepat dan mempunyai bukti. Ia memudahkan pihak yang berwajib mengambil tindakan. Selain itu disarankan juga perkara yang hendak dibawa kepada pihak berkuasa dibuat secara berkumpulan. Untuk itu, Majlis Ketua Kampung (MKK) adalah platform terbaik untuk membuat aduan. Walaubagaimanapun, PKWR sentiasa terbuka dan bersedia memberi bantuan kepada mana-mana pihak atau individu di kawasan DUN Pantai Merdeka. Namun yang penting setiap maklumat mesti tepat.
Selesai dialog, jam 4 petang bergerak pulang. Malam ini ke Alor Star untuk latihan mengiringi jemputan ke majlis jamuan negeri pada 22 haribulan nanti. Jemputan yang bakal diiring ialah Sultan Selangor.
Perkemas Komuniti Untuk Kebaikan Bersama
Penduduk Taman Seri Jenaris, Tikam Batu berjaya menubuhkan sebuah pusat komuniti bagi menyelaraskan aktiviti kemasyarakatan penduduk taman tersebut. Dijemput untuk merasmikan pembukaan pusat tersebut, beberapa perkara disentuh sebagai cadangan atau saranan untuk kebaikan bersama. Antaranya melahirkan harapan agar penubuhan pusat komuniti akan mengembalikan amalan kekeluargaan yang pernah menjadi tunjang cara hidup bermasyarakat generasi terdahulu. Sikap sentiasa memantau dan menegur kelakuan negatif anak-anak muda tanpa mengira ‘anak siapa’ perlu dikembalikan sebagai amalan setiap anggota masyarakat.
Ahli Jawatankuasa (AJK) yang dilantik diminta supaya berperanan menarik penduduk setempat untuk menjalin kerjasama tanpa mengira fahaman politik. Sebarang permohonan atau tuntutan kepada kerajaan negeri lebih berkesan sekiranya dibuat secara berkumpulan. Kerajaan negeri pula akan berusaha sedaya upaya untuk bersikap adil dalam memenuhi sebarang tuntutan oleh mereka yang layak.
Selain itu sesuatu maklumat yang diterima hendaklah terlebih dahulu dipastikan kesahihannya khususnya yang berhubungkait dengan kerajaan negeri. Dalam situasi sekarang apabila media perdana ditadbir dan diuruskan oleh mereka yang tidak beramanah, rakyat terdedah dengan berita-berita propaganda dan fitnah. Kerajaan negeri tidak terlepas dari menjadi mangsa. Sehubungan itu, pusat komuniti yang diwujudkan mampu menjadi sumber bagi penduduk mendapatkan maklumat yang sahih melalui hubungan yang rapat antara pusat komuniti dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) ADUN Pantai Merdeka. Sebarang maklumat akan dapat disalurkan oleh PKWR dengan lebih efektif.
Selepas perasmian masa diluangkan melihat gambar-gambar aktiviti yang pernah dijalankan oleh penduduk dipamerkan. Tidak ketinggalan sesi bergambar bersama AJK Persatuan Penduduk.
Penghulu tidak hormat EXCO
Satu perjumpaan dengan ketua kampung mukim-mukim dalam DUN Pantai Merdeka telah dijadualkan pada jam 3.30 petang tadi di Pejabat Peladang Kawasan Kuala Muda Selatan. Perjumpaan yang bertujuan membincangkan perkara berkaitan perlantikan Majlis Ketua Kampung (MKK) ini diatur oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Pantai Merdeka. Jam 4.25 petang rombongan kembali ke pejabat PKWR.
Penghulu-penghulu yang terlibat ialah Penghulu Mukim Pekula, Mukim Simpor, Mukim Kota Kuala Muda dan Mukim Bukit Meriam.
Rombongan PKWR disertai 4 ahli telah tiba seawall jam 3.15 petang. Malangnya setelah sejam menunggu, kelibat semua penghulu berkenaan langsung tidak kelihatan tanpa sebarang pemberitahuan.
Menurut pegawai PKWR yang mengurus perjumpaan ini, Tuan Hj. Kadir, beliau berjumpa sendiri dengan Penghulu Mukim Pekula dan Simpor bagi menghantar surat makluman. Beliau turut memaklumkan pernah menghubungi Penghulu Mukim Sungai Petani untuk mendapatkan nombor telefon penghulu-penghulu berkenaan. Malangnya, penghulu tersebut bukan sahaja tidak memberikan nombor telefon yang diminta malah melayan panggilan secara kasar dan tidak berakhlak.
Agak dikesalkan dengan sikap penghulu-penghulu berkenaan. Memandangkan mereka adalah pegawai-pegawai kerajaan negeri sepatutnya menunjukkan sikap hormat kepada wakil kerajaan negeri tetapi bersikap sebaliknya.
Tidak pasti juga kalau-kalau disebabkan perbezaan fahaman politik.
sila layari http://abdullahjusoh.blogspot.com
Perasmian Konvokesyen ke-7 MAQAAZ
PERASMIAN MAJLIS KONVOKESYEN KE-7
MAAHAD QIRAAT AL AZHAR AMAL AIMY ZDALIFAH
Syabas dan tahniah kepada para graduan di atas kejayaan menamatkan pengajian Diploma Qiraat dan menerima diploma masing-masing pada hari yang bersejarah ini. kejayaan yang dikecapi bukanlah datang bergolek. Ia memerlukan satu kerjasama erat di antara tiga komponen utama iaitu pelajar, maahad dan waris.
Bagi menjamin kejayaan berterusan ada baiknya sebuah badan yang berperanan sebagai ‘check and balance’ ditubuhkan persis PIBG. Penubuhannya nanti diharap boleh memastikan sebarang polisi yang hendak dilaksanakan dilihat terlebih dahulu pro dan kontranya demi menjamin ‘win-win situation’.
Antara paradigma besar yang wujud dalam masyarakat dengan mengaitkan pengajian tahfiz dengan peluang pekerjaan. Ungkapan seperti tiada masa depan sangat menyakitkan hati. Justeru, keberanian ibu bapa menghantar anak ke pusat pengajian tahfiz ini sebagai satu tindakan menongkah arus semasa adalah satu kebanggaan.
Para graduan harus ingat tentang tanggungjawab dan amanah yang sedang dipikul sekarang. Amanah yang dimaksudkan itu ialah ‘amar ma’ruf dan nahi mungkar. Maka sebaik sahaja pengajian ditamatkan, hendaklah bersedia untuk terjun dan bergelumang dalam masyarakat. Buktikan kepada masyarakat kebolehan untuk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan masyarakat. Buktikan juga sebagai produk berkualiti tinggi dan berkemampuan menjadi role model.
Akhir sekali sebagai orang yang diamanahkan untuk menjaga hal ehwal pendidikan negeri Kedah, akan berusaha mencari jalan terbaik untuk memastikan pembelaan berterusan ke atas pelajar-pelajar agama.
Tegasnya pendidikan berteraskan al-Quran dan as-Sunnah merupakan solusi terbaik kepada gejala sosial yang dihadapi hari ini.
Pemilihan Ketua Komuniti di Kota Kuala Muda
Masyarakat Cina di pekan kecil Kota Kuala Muda menjadi komuniti terakhir di kawasan Sungai Petani melantik Ketua Kampung atau Komuniti. Pemilihan terpaksa diadakan melalui pengundian ala pilihanraya yang melibatkan kira-kira 300 anggota masyarakat yang tinggal di sekitar kawasan tersebut. Bagi melicinkan perjalanan proses pemilihan di samping mengelak daripada timbul rasa tidak puas hati, pihak Pusat Khidmat ADUN Pantai Merdeka telah mengambil tanggungjawab mengendalikannya. Tindakan tersebut turut dipersetujui oleh calon-calon serta penyokong mereka.
Pihak Pusat Khidmat dengan persetujuan masyarakat setempat telah menggunakan buku daftar pemilih SPR yang digunakan dalam pilihanraya yang lalu untuk mengesahkan mereka yang layak membuat pemilihan. Selesai pemilihan dan keputusan diumumkan dan calon Ketua Komuniti Pekan Kota Kuala Muda pun disahkan. Dalam ucapan, semua pihak diharap dapat menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.
Apa yang penting ialah semua pihak bertanggungjawab membantu kerajaan negeri membangunkan negeri Kedah khususnya di kawasan Kota Kuala Muda.
sila layari : http://abdullahjusoh.blogspot.com





