Abdullah bin Jusoh

Pusat Khidmat Wakil Rakyat Pantai Merdeka, No.111 Jalan Butterworth, 08600 Tikam Batu, Kedah.

Kerajaan Kedah gesa Pilihanraya Kampus dijalankan dengan telus

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Kerajaan Negeri Kedah, saya merasa amat sedih mendengar segala laporan penyelewengan dan sekatan yang dilakukan oleh pihak tertentu termasuk pihak pentadbiran kampus-kampus di seluruh Malaysia yang cuba menghalang proses demokrasi di kalangan mahasiswa.

Para pelajar di kampus-kampus harus diberi kebebasan yang sempurna untuk menyuarakan ideologi dan perjuangan mereka untuk dinilai oleh khalayak mahasiswa. Semua mahasiswa harus diberikan hak yang sama untuk bertarung di gelanggang yang sama rata. Sikap diskriminasi terhadap kumpulan tertentu oleh pihak-pihak berwajib amatlah memalukan. Pentas terbuka untuk pidato perdana antara semua calon harus dianjurkan oleh pihak pengurusan pilihanraya jika mereka benar telus.

Denda pula jangan hanya melibatkan kesalahan kumpulan yang dilabel ‘pro-pembangkang’ semata-mata tetapi harus juga dikenakan terhadap kumpulan ‘pro-kerajaan’ jika terbukti mereka turut bersalah tanpa perlu mengambil sikap menutup mata terhadap kesalahan mereka seperti yang diamalkan selama ini. Pihak universiti / kolej harus adil dalam menghukum.

Budaya ugut yang melampau terhadap masyarakat mahasiswa hanya akan mencerminkan kebobrokan pihak pentadbiran universiti / kolej. Apalah lagi gunanya PRK ini jika pelajar dipaksa dan diugut untuk memilih kumpulan yang mereka tidak relai. Amatlah menjijikkan jika pimpinan pelajar harus dipilih mengikut kemahuan pihak pengurusan dan amatlah malang jika perkara tersebut harus juga dijayakan walaupun terpaksa menggunakan taktik kotor.

Segala macam gejala tidak sihat dalam perkembangan politik pelajar seperti gejala samseng atau pergaduhan harus dicantas dan diatasi secara bersungguh-sungguh oleh pihak pentadbiran universiti / kolej yang harus bersikap berkecuali. Pihak Kementerian Pengajian Tinggi pula digesa agar serius dalam menjaga kebajikan pelajar termasuk dalam urusan pemilihan ini agar telus dan tidak menafikan kehendak sebenar pelajar. Selain itu, pihak university / kolej dan kementerian juga mesti memastikan kumpulan-kumpulan samseng politik dapat dihapuskan dari alam mahasiswa. Kami amat kesal dengan gejala-gejala politik kotor seperti yang telah dilakukan oleh ‘Harimau Maut’ yang ditaja oleh pihak yang memusuhi kumpulan pelajar pro mahasiswa dalam kempen pilihan raya kampus (PRK) bagi sesi 2008/2009 baru-baru ini.

Tindakan dan keputusan tidak memaklumkan tarikh PRK secara rasmi dengan lebih awal dan pelaksanaan pengundian secara online menerusi sistem pengundian e-voting contohnya, dilihat sebagai keputusan yang amat dicurigai untuk membelot dan melakukan penyelewengan dalam proses pilihanraya. Keputusan tersebut juga seolah-olah pihak pentadbiran amat terdesak untuk menyekat kebangkitan suara pelajar yang tidak direstui oleh mereka.

Seperkara lagi, jika kumpulan ‘pro pembangkang’ menang nanti, diharap pihak universiti memberi kebebasan sepenuhnya untuk mereka bergerak, begitu juga jika sebaliknya. Kami megingatkan pihak pentadbiran universiti / kolej supaya jangan sekali-kali mengambil sikap membalas dendam kepada mana-mana pihak yang tidak disukai oleh mereka. Selain itu, pihak universiti / kolej dan kumpulan yang menang diingatkan agar kumpulan calon yang tidak menang nanti tidak akan disekat seperti yang berlaku dalam dunia parti politik pembangkang di luar kampus. Kebeasan beraktiviti harus diberi secara sama dan adil.

Desakan supaya perubahan dilakukan dalam sistem pemilihan pemimpin mahasiswa seperti mana yang berlaku dalam politik semasa tanah air pada masa sekarang merupakan impian generasi ilmu untuk menyuburkan demokrasi tulen di Malaysia. Gesaan mahasiswa ini harus dilihat positif kerana pembinaan masyarakat yang terbuka dan pandai menilai bermula daripada generasi terpelajar. Mahasiswa perlu dibebaskan daripada segala kongkongan pentadbiran universti dan dasar kementerian yang menyekat suara dan kuasa pelajar supaya bebas melaksanakan idealisme perjuangan mereka agar melahirkan demokrasi tulen dalam masyarakat kampus seterusnya dalam realiti dunia politik Malaysia.

Jawatankuasa Pendidikan Kerajaan Negeri Kedah melihat kepelbagaian ideologi yang dipertaruhkan dan kepelbagaian manifesto yang dikemukakan calon-calon PRK adalah sesuatu yang sihat dalam disiplin ilmu. Kebebasan harus diberi kepada pemilih sepenuhnya untuk memutuskan keputusan dan pilihan. Pertentangan antara ideologi dan manifesto merupakan budaya biasa yang seharusnya sihat dan harmoni tidak perlu diconteng dengan adegan-adegan samseng dan tidak juga perlu diganggu oleh pihak yang tidak terlibat dengan pertandingan. Keadaan pertandingan ini harus diperhatikan dari jauh oleh pihak universiti / kolej dan Kementerian tanpa perlu ada campurtangan untuk mengatur dan mempengaruhi keputusan.

Bagi memastikan keadilan dan ketelusan PRK ini, Kami bersetuju dengan 9 desakan mahasiswa serta memohon agak dipertimbangkan dengan penuh kewarasan Oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak pengurusan universiti / kolej supaya demokrasi pelajar tidak lagi dicabul oleh tangan-tangan yang berkuasa. 9 tuntutan tersebut ialah;

1. Suruhanjaya pilihanraya melibatkan pemerhati luar yang adil dan saksama.
2. Pilihanraya tidak berat sebelah.
3. Mansuhkan penggunaan e-voting.
4. Sistem bertanding atas tiket parti bukannya individu.
5. Tiada gejala samseng.
6. Tiada campurtangan pihak pengurusan universiti / kolej atau mereka yang tidak berkenaan.
7. Panjangkan tempoh berkempen.
8. Membenarkan penggunaan bahan kempen yang berwarna.
9. Wang cagaran calon dikurangkan kepada kos yang tidak membebankan.

Akhirnya, Jawatankuasa Pendidikan Kerajaan Negeri Kedah melihat segala macam tragedy dan gejala tidak sihat yang berlaku ini sebagai satu kegagalan besar Kementerian Pengajian Tinggi dalam menguruskan kebajikan mahasiswa. Kerajaan Negeri Kedah amat bimbang segala sekatan dan kengkangan yang dilakukan oleh pihak universiti dan Kementerian terhadap kebebasan politik pelajar hanya akan melahirkan generasi yang jumud dan miskin sikap prihatin. Jawatankuasa PendidikanKerajaan Negeri Kedah mengharapkan kebebasan pelajar tidak lagi digadaikan dengan sikap politik sempit. Jawatankuasa Pendidikan Kerajaan Negeri Kedah juga sekali lagi menggesa Kementerian Pengajian Tinggi supaya segera menyelesaikan isu ini dengan adil tanpa mengambil sentiment politik permusuhan.

Kenyataan Media oleh,

YB Tn. Hj. Abdullah Jusoh
Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, dan Koperasi

Oktober 22, 2008 - DIkirim oleh abdullahjusoh | Uncategorized | | 1 Komen

1 Komen »

  1. Salam perkenalan buat Tuan rumah. Apakhabar ? Semoga kita mendapat lebih barakah di bulan Ramadan ini. :)

    Komen oleh Tabib Hj. Norjae Hadi | September 6, 2009 | Balas


Tinggalkan komen