Muslim dan Puasanya
Ramadan kini telah melepasi setengah bulan pertama dan memasuki fasa kedua. Adakah kaum muslimin sudah memanfaatkan kurnia Allah ini dengan sebaiknya atau ia dibiar berlalu begitu sahaja.
Generasi muslim terdahulu, yang terpilih dari kalangan umat Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam dengan kesungguhan yang mereka tunjukkan ketika menjalani ibadah puasa, telah memetik hasilnya, bernaung di bawah lindungannya dan mengambil roh kekuatannya.
Pada siangnya mereka bekerja, produktif serta tekun. Sedang di malamnya diisi dengan solat malam dan bertadarus. Ramadan dipenuhi dengan tarbiyah, ibadah dan kebajikan.
Mulut, telinga dan mata mereka berpuasa, tidak berbohong, tidak berkata, mendengar dan melihat perkara yang keji. Hati mereka berpuasa, tidak terlintas untuk melakukan kejahatan. Begitu juga tangan, kaki dan seluruh fizikal mereka turut berpuasa.
Dewasa ini, ada di antara kaum muslimin yang menjadikan Ramadan sebagai musim untuk meningkatkan ketaatan kepada Allah dan melipatgandakan kebajikan. Mereka bukan sahaja berpuasa malah membaguskan puasanya. Lalu membaguskan ibadah pada malamnya. Mereka bersyukur dengan nikmat yang diperolehi serta tidak lupa untuk menghulurkan bantuan buat saudara-saudara seakidah dari kalangan du’afa’ dan fuqara’. Mereka jadikan Rasul dan Salafus Soleh sebagai teladan yang luhur dalam menyegerakan kebajikan.
Sebaliknya, ada kelompok yang gagal mengambil manfaat dari bulan rahmat ini sama ada kerana kejahilan atau hati yang sedia keras untuk menerima kebenaran. Ramadan dibiarkan berlalu tanpa memaksimumkan puasa dan ibadah malah meninggalkan terus tanpa rasa berdosa.
Allah menjadikan Ramadan untuk melunakkan jiwa dan hati, namun mereka menggunakannya untuk kepentingan perut dan syahwat. Allah menjadikan Ramadan untuk mendidik jiwa sabar dan berkasih sayang, sebaliknya mereka tetap dalam kemarahan dan kedengkian. Allah menjadikan Ramadan untuk insan dapat mengecap ketenangan dan kesederhanaan tetapi mereka hanya mendapat kenistaan dan keborosan. Allah menjadikan Ramadan agar perubahan peribadi dapat dilakukan sebaliknya hampir tiada perubahan melainkan waktu-waktu makan sahaja.
Allah menjadikan bulan Ramadan untuk golongan kaya yang sering cukup makan meyakinkan saudara mereka dari golongan miskin yang selalu kekurangan tentang kebesaran rahmat bulan Ramadan. Di bahu si kaya tergalas tanggungjawab untuk memeriahkan Ramadan dengan memberi jaminan kesenangan kepada golongan miskin melalui sedekah, sumbangan, zakat fitrah dan sebagainya.
Semoga kaum muslimin dapat melakukan ibadah puasa yang dapat menghantar mereka ke tingkatan taqwa sebagaimana perintah al Quran, “………… semoga kamu bertaqwa”, sehingga mereka keluar dari madrasah Ramadan dalam keadaan suci bersih dan terampun dari segala dosa.
Tiada komen.