Turun Kawasan (Pulau Sayak)
Alhamdulillah. Walaupun sibuk dengan tugas-tugas rasmi sempena sambutan Jubli Emas Pemerintahan Tuanku Sultan, masih lagi sempat turun bagi meninjau keadaan rakyat di kawasan DUN Pantai Merdeka. Tentu sekali ucapan terima kasih buat petugas-petugas PKWR yang pantas berperanan dibawah kelolaan En. Rosli b. Darus.
Kali ini kesempatan digunakan untuk menerima jemputan penduduk di sekitar Pulau Sayak bagi tujuan bersemuka dan berdialog serta mendengar permasalahan yang dikemukakan. Antara yang dibangkitkan ialah masalah yang berlarutan sejak beberapa tahun yang lalu seperti masalah bekalan air yang sering terputus.
Selain itu penduduk dari kalangan nelayan yang hadir membangkitkan masalah lesen perahu bagi tujuan menangkap ikan yang hari ini belum diperolehi sedangkan permohonan telah dibuat sejak lama dulu. Tidak ketinggalan permohonan mendapatkan lampu jalan serta jalan kampung bertar yang sudah rosak.
Sebagai langkah penyelesaian, dikemukakan beberapa kaedah. Antaranya penduduk diingatkan supaya setiap maklumat atau aduan yang hendak dikemukakan mestilah tepat dan mempunyai bukti. Ia memudahkan pihak yang berwajib mengambil tindakan. Selain itu disarankan juga perkara yang hendak dibawa kepada pihak berkuasa dibuat secara berkumpulan. Untuk itu, Majlis Ketua Kampung (MKK) adalah platform terbaik untuk membuat aduan. Walaubagaimanapun, PKWR sentiasa terbuka dan bersedia memberi bantuan kepada mana-mana pihak atau individu di kawasan DUN Pantai Merdeka. Namun yang penting setiap maklumat mesti tepat.
Selesai dialog, jam 4 petang bergerak pulang. Malam ini ke Alor Star untuk latihan mengiringi jemputan ke majlis jamuan negeri pada 22 haribulan nanti. Jemputan yang bakal diiring ialah Sultan Selangor.


